Yang Pergi Kan Meniti Kembali
Yang Hilang Kan Terbang Pulang...
Selamat Datang ke Blog Novel :
SURAT BUAT BELLE
Semoga anda terhibur!
Isnin, 13 Disember 2010
Dicatat oleh FaizNazim di 4:41 PG
B : Buat Keputusan
Fadzil duduk. Membongkok [macam dulu]. Bezanya, kali ini Isabelle takkan datang lagi ke Taman Evergreen. Isabelle tak mungkin kembali dalam basah hujan untuk menjengahnya. Isabelle tak akan datang dengan senyuman berlesung pipit kiri untuk minta tumpang berteduh. Dan Isabelle takkan ada untuk menemani Fadzil selama tiga puluh lima minit macam dulu.
Fadzil pandang keliling gegelung simen. Masih biru. Badannya diengsot hingga ke pinggir gegelung dan hanya kepalanya sahaja yang tunduk di luar gegelung. Dia pandang bahagian tepi bawah gegelung. Mata yang menyorot seakan terkesan dengan pamitan rindu. Tanda cinta mereka masih ada. Kabur sedikit.
RURU SAYANG BELLE
Puas. Fadzil masukkan kepala semula dalam gegelung. Kemudian, dia bersandar. Satu helaan nafas panjang dilepaskan.
Argh, Belle. Kenapalah Belle pergi terlebih awal tanpa Ruru?
Fikiran Fadzil berputar-putar. Mindanya terawang dalam dunia memori [khayalan, sebetulnya!]. Perlahan-lahan mata Fadzil terkatup rapat. Dia memasuki alam lena. Mimpi. Dengan penuh harapan.
“Ruru...”
“Bangun...” Satu suara menyergah lena Fadzil.
Menggangu! Orang tengah tidur boleh pula nak kacau.
Benak hati Fadzil marah dalam mamai. Kelopak matanya perlahan-lahan cuba dibuka. Cahaya yang terlampau terang membuatkan persekitaran itu amat aneh baginya. Dia masih lagi cuba menyesuaikan diri. Sendi-sendi badannya diregang perlahan. Fadzil menggeliat. Usai semua itu barulah dia berdiri.
Di mana aku ini?
Bebola mata Fadzil liar cuba memandang seluruh penjuru kawasan itu. [Tiada, langsung tiada penjuru] Dia sedang berdiri di sebuah padang yang cukup besar. Di atas padang yang berwarna biru [dan kuning]! Padang yang dilitupi bunga-bunga kecil berwarna biru. Dan di setiap pusat bunga itu berwarna kuning dikelilingi putih. Hamparan bumi[?] yang memukau mata. Cukup mempesona.
Fadzil tutup matanya. Kedua tangannya didepa. Bayu angin kencang yang melepasinya mengasyikkan. Bau wangi lavender yang harum semerbak tiba-tiba menusuk hidung Fadzil perlahan.
Nyamannya...
Belle.
Terasa seakan satu getar melanda tubuhnya yang kaku. Perasaan rindu yang amat membungkam jiwa lelaki itu. Fadzil menghayati setiap detikan waktu dan setiap badai angin lavender yang menjengah. Kalau boleh, mahu [sangat] dia hentikan waktu itu. Ketika yang dia rasakan, Isabelle masih di sisi. Sentuhan nostalgik cinta yang terpaksa dilepaskan.
“Ruru...!”
Fadzil tersentap. Dia buka mata. Fadzil lihat Belle berlari di padang biru itu. Mata birunya yang bersinar, sama biru dengan bunga-bunga yang ada. Fadzil cepat-cepat mengatur langkah mengejar Belle yang sudah terhenti sebentar.
20 meter.
15 meter.
10 meter.
5 meter. Berhenti.
Fadzil pandang Belle. Dia tampak ayu dalam dress polka dot kuning putih yang seakan diperbuat daripada sutera. Pengikat rambut berbentuk rama-rama yang juga berwarna kuning menjaga rambut ikal mayang Belle daripada menggerbang ditiup angin. Kontra warna daripada latar.
Belle memandang Fadzil. Matanya hanya memandang sayu. Fadzil tidak lagi seceria dulu sejak pemergiannya. Wajah Ruru kesayangannya itu cukup untuk menjelaskan segala-galanya.
“Ruru, teruskan kehidupan. Kalau boleh, Ruru tinggalkan sahaja Simfoni buat sementara waktu. Cuba lihat perkara baru di luar sana. Jangan duduk tersorok lagi. Bangun dan pergi...”
Kata-kata Belle itu jelas memancarkan betapa kasihnya cinta mereka. Langsung tak sanggup dibiarkan Fadzil tinggal dalam awang-awangan memori. Menanti suatu perkara yang takkan tiba. Tak mungkin hadir.
Fadzil masih lagi melekapkan pandangannya kepada Isabelle. Wajah yang teramat dirindui. Dia angguk perlahan mengiyakan apa sahaja. Membiarkan agar Isabelle senantiasa tenang.
Belle membingkis satu senyuman. Senyuman yang berlesung pipit kiri. Serentak itu, angin kecang yang amat. Biru padang mula tenggelam dari latar. Susuk Belle hilang dalam khayalan. Badai yang sekali lagi melanda membawa pesanan. Suatu utusan suci.
“Lupa-Saya-Jangan”
Tak. Belle takkan pernah luput dalam ingatan Fadzil. Mana mungkin!
“Ruru akan sentiasa ingat Belle. Sentiasa” Itulah yang sebenarnya. Rasa yang akan sentiasa ada. Sebati bersama dirinya.
Sekali lagi. Semuanya gelap dan hilang...
Fadzil tersentap dari tidurnya. Dia bangun dari perbaringan. Badannya menggeliat. Jam digital di tangan Fadzil buka lampunya. Digit tiga mengisi ruang gelap kamar. Dia menggenyeh matanya. Betul, baru pukul tiga pagi [3 bulan?]
Awal pagi lagi..
Fadzil baring semula di atas tilam bersaiz queennya. Dia teringat semula perkara aneh yang baru dialaminya. Mimpi [atau apa sahaja] yang cukup indah. Indah kerana dapat bertemu kekasih yang pergi.
Sudah. Cukup.
Rungutan yang perlu dihentikan dan keperluan baginya untuk meneruskan kehidupan. Pasrah dengan segala ketentuan.
“Ya, Ruru akan teruskan. Demi Belle”
Seluruh jiwa penuh bersemangat semarak nyalaan obor. Keputusan sudah dibuat.
Demi Isabelle.
Fadzil kembali tidur dalam dirinya yang sudah muktamad!
Nota Kaki dan Tangan Penulis:
Ingat lagi waktu kecil-kecil, selalu duduk
bawah gegelung simen. Kaki kat atas,
kepala kat bawah pastu cuba tidur. Tak
sampai lima minit [dua minit pun] dah
ada orang datang jenguk. Gambar bunga warna
biru tu payah betul nak cari semata-mata
nak bagi gambaran grafik. Teruskan membaca!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)











0 ulasan:
Catat Ulasan